Sunday, August 10, 2008

WASPADA ‘SUMBANG MAHRAM’ DALAM POLITIK UMNO CAWANGAN.

Banyak artikel telah dipaparkan mengenai senario pemilihan pemimpin UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini. Dari penganalisis politik, pemimpin tertinggi UMNO dan tidak kurang kedengaran suara dari peringkat akar umbi bercakap mengenai kepincangan yang harus disedari dan dibendung. Permasalahan yang berkisar tentang salah guna kuasa, politik wang dan beberapa salah laku politik lain menjadi punca lahirnya kekeruhan ini.

Tempoh pemilihan di peringkat cawangan yang masih berbaki dua minggu sahaja lagi nyata membuka pekung demi pekung akan ketulenan agenda dan perjuangan parti UMNO itu sendiri. Arena ini sepatutnya digunakan sebaik dan sebijak mungkin oleh ahli dan pemimpin parti rentetan dari ‘tsunami’ politik UMNO dalam pilihanraya ke 12 yang lepas, nyata telah mengheret satu lagi kisah duka dalam lipatan sejarah parti keramat ini.

Sukar untuk dimengerti dan dikupas punca permasalahan ini tetapi inilah realiti yang terjadi kepada parti UMNO hari ini.

Dalam keharmonian sebuah kampung, sebuah cawangan yang berdaya saing, penduduknya masih mengamalkan budaya muafakat dan kerjasama yang sangat tinggi. Tali persaudaraan sesama dijadikan pengikat silaturahim yang sepatutnya sukar dirobek oleh anasir yang tidak sihat. Kenduri kendaranya masih ‘masak seramai’. Malah segala persiapan sebelumnya masih senonim dengan jemputan ‘berbujam epok’. Merujuk kepada yang tua dan bergelar. Seminggu sebelum langsungnya akan dipanggil sekampung untuk ‘berkampung’, ‘berkayu berakar’, dijemput ‘bergolek’, beranak pinak, cucu cicit berkumpul pada hari tersebut. Kemesraan jelas terbayang bahkan ada yang menangis tanda sangat gembira kerana masih dapat bertemu setelah sekian beberapa lama berpisah. Manakan tidak, semasa kecilnya di sini, sawah mana yang tidak ‘dibajak’, semak mana yang tidak diredah, sungai dan ‘teluk’ mana yang tidak diselam, tanah rata mana yang tidak ditebuk lubang gasing. Setelah penat boleh pula tidur, minum dan makan di rumah sesiapa saja. Bahkan bermalam pun tidak kisah….zaman tersebut dilangsungkan semuanya bersama-sama.

Itulah nostalgia yang mengeratkan ukhwah penduduk di sini. Berjumpanya sekali-sekali, berpelukan erat, menangis sambil mengimbau kenangan tadi…tetapi semua yang manis ini telah berubah. Rupa-rupanya parti UMNO bukan sahaja sebuah parti politik, tetapi merupakan sebuah lapangan yang membuka segala isihati dan ketelusan antara insan sesama insan di mukabumi Melayu ini. Mungkin juga boleh ditafsirkan bahawa orang Melayu memang pandai berpolitik tetapi persoalannya adakah mereka yang ‘bertopeng’ ini semasa atau sebelum musim pemilihan ini..? Jika ingin dibandingkan dan dinilai antara maruah dan politik, pada hemat saya maruah adalah segala-galanya. Persaudaraan dan keakraban yang digambarkan di atas akan mendahulukan maruah dari politik. Tetapi sekarang nampaknya segalanya telah berubah. Politik mengatasi segala-galanya waima sanggup menggadaikan maruah sendiri dan maruah orang untuk mencapai kepuasan dalam meraih jawatan dalam UMNO. Bergaul akrab, mesra tetapi pada masa yang sama mereka mempunyai nafsu yang terbit dari dalam diri akibat dari pelbagai faktor. Demokrasi tidak menghalang sesiapa untuk merebut jawatan. Tetapi dimanakah letaknya pula muafakat, perundingan yang sepatutnya dan seharusnya dipilih sebagai jalan terbaik dalam penyuburan ukhwah dan parti ini.Golongan ini nampaknya lebih cendurung kepada dendam, tidak peduli perihal maruah lantas mempengaruhi orang lain yang boleh diperkudakan.

Lebih menyedihkan senario ini pula didalangi oleh orang yang terang-terangan mengarak ke hulu ke hilir bendera parti pembangkang dalam pilihanraya yang lepas. Dan dalam pada masa yang sama orang yang menyokong pula adalah merupakan orang kuat dalam parti UMNO dan Barisan Nasional…entahlah..nak dikatakan bodoh orang kampung dan saudara sendiri juga. Inilah kelemahan pemimpin UMNO, sudah tahu ‘disumbang mahram’ masih juga tidak kesampaian hati berbuat apa-apa.Renung-renungkanlah.

No comments: