Thursday, July 31, 2008

Sayap muda UMNO : Antara ‘rajuk’ dengan survival parti

Tertarik dengan tulisan Sdr. Khairul Azran Hussin dalam ruangan Berita Harian 31 Julai 2008, bertajuk ”Sayap muda UMNO perlu dekati generasi ’merajuk’ ” terpanggil saya untuk melebarkan perbincangan berpandukan pengalaman saya sendiri.
Artikel tersebut ibarat ’terkena batang hidung saya sendiri’ membuat saya berfikir tentang relevensi (relevency) atau kesesuaian atau ketepatan mentafsir jiwa golongan muda ini yang dilabel sebagai dalam suasana ’merajuk’.
Dalam pengamatan saya, dalam melemparkan tafsiran jiwa anak muda sekarang, perkataan ’rajuk’ adalah kurang tepat justeru ia akan mensasarkan kita dalam mencari langkah yang sesuai dalam agenda memperbetulkan keadaan yang kelam kabut ini.
Jika kita ingin membandingkan antara kekerasan hati, kekentalan jiwa anak muda sekarang dengan senario politik tanahair, perkataan ’rajuk’ nyata akan menjadi bahan gelak ketawa golongan ini. Mengikut kerangka kependudukan negara ini 40 peratus daripadanya adalah golongan belia (berumur 15-40 tahun mengikut akta pertubuhan belia yang baru). Jika kita mengambil 50 peratus daripada jumlah tersebut tertarik dengan pilihanraya dan lima puluh peratus lagi langsung tidak berminat, maka golongan yang kedua ini langsung tidak berminat dalam politik dan pilihanraya. Maksudnya golongan ini mengenepikan atau yang lebih tepat adalah perkataan tidak berminat langsung atau tidak ada hati langsung terhadap pilihanraya, justeru itu golongan ini tidak merajuk sama sekali. Namun jika kita mengambil tafsiran jiwa golongan lima peratus yang pertama tadi, golongan ini boleh dikatakan separuh minat dan sangat minat dengan cerita politik dan pilihanraya. Apabila diambil kira faktor kenapa mereka ada sedikit jiwa tentang politik ia akan dikaitkan dengan sosial, pergaulan, latarbelakang, taraf akademik, media dan lain-lain, golongan ini sebenarnya adalah golongan yang mengikuti perkembangan politik tanahair samada secara langsung ataupun tidak. Walaupun tidak bualkan dikalangan mereka, tetapi mereka ada perkembangan jiwa yang telah dipertimbangkan kepada setiap isu yang dikerap dan diulang siar samada dalam media masa mahupun elektronik. Pertimbangan yang terkadang ada kata putus mahupun tergantung hanya ditafsirkan pada penghujung sesuatu keperluan. Memori mereka terhadap input-input politik yang tidak pernah diperbincangkan atau difikirkan secara serius ini akhirnya diterjemahkan dalam pengalaman pertama hari mengundi. Justeru golongan ini tidak merajuk sama sekali. Sebab ia langsung tidak melibatkan hati, perdebatan,konflik bahkan tidak menjiwai sama sekali. Keadaan lebih parah tentang pengamatan jiwa golongan remaja ini adalah mereka adalah terdiri dari golongan yang tertarik dengan paparan survival, cerita mengenai keganasan, permainan video game, aktiviti ko-kurikulum malahan persaingan dalam akademik yang menekankan unsur-unsur persaingan. Mereka berasa hebat jika disaingi. Kalau zaman era tahun 80 an dahulu kita akan terikut-ikut kepada sang juara berganda. Jarang sekali suatu ketika dahulu kita dengar ada rakan yang tidak menyokong pasukan Liverpool. Di masa itu dimanakah pasukan Manchester United? Dimanakah pasukan Chelsea. Kita akan merasa janggal jika ada dikalangan rakan kita menyokong pasukan underdog. Tetapi hari ini mereka, golongan ini melihat kepada kualiti, pemain yang mempunyai kemahiran yang hebat di hati mereka. Kestabilan ekonomi pasukan bolasepak Inggeris membuktikan setiap pasukan mempunyai peminat dan kelebihan yang tersendiri. Ini contoh pendirian. Bukan ikutan. Dalam membuat perbandingan senario persaingan politik tanahair, antara UMNO dan parti pembangkang, parti manakah agaknya yang lebih menarik minat mereka dalam persepsi survival sebuah perjuangan..?

Mereka tidak peduli siapakah yang mendapatkan kemerdekaan, parti mana yang melahirkan bangsa bermaruah dan sebagainya tetapi mereka lebih tertarik dengan survival. Mereka akan menjadikan golongan yang terhimpit, golongan minoriti ini sebagai yang hero atau watak yang mahu bangkit dari kepayahan dan kesulitan. Pada mereka lagi sukar seseorang atau sesebuah pertubuhan itu, ianya lebih hebat dan mendapat perhatian mereka. Justeru kita harus akur tiada sekelumit pun perasaan merajuk dikalangan mereka. Lebih memburukkan keadaan parti UMNO dipaparkan sebagai sebuah parti yang mewah, eksklusif, angkuh, bongkak yang hanya memberi kredit tambahan kepada parti pembangkang untuk memenangi jiwa golongan ini.

Golongan ini yang rata-rata mempunyai latar pengetahuan IT, nyata lebih mendekatkan mereka dengan parti pembangkang. Bukannya mereka terlalu intim dengan media ini tetapi pada pandangan mereka bahawa IT merupakan asses kepada pembangunan. Pada mereka IT sangat basic dalam kehidupan. Golongan pemimpin UMNO yang angkuh tidak bertempat ini dianggap oleh golongan ini sebagai golongan bodoh sombong. Dah tahu tidak pandai tidak mahu pula belajar. Berbeza dengan parti pembangkang yang telah menyiapkan jentera yang tidak perlu ramai kakitangan seperti parti UMNO. Hanya dengan pendekatan yang bijak dengan penggunaan teknologi komputer mereka akan tertarik dengan dakyah pembangkang yang berlambak dalam internet walaupun mereka tidak perlu membaca isikandungannya apatah lagi ingin memahaminya. Paparan yang berlambak ini sahaja telah meletakkan imej parti pembangkang sebagai parti yang up to date dihati mereka.

Justeru itu terpulanglah kepada parti pemerintah khususnya parti UMNO bagaimana ingin merungkai kekusutan ini dalam tempoh 4 tahun yang akan datang. Asasnya jiwa mereka yang dituduh penyebab ini harus diselami. Pelebalan ke atas jiwa mereka harus tepat. ’Merajuk’ dalam artikel penulis terdahulu pada hemat saya adalah lebih tepat diberikan kepada mereka yang sudah dan pernah berjuang dalam UMNO tetapi tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Tetapi golongan ini mudah kita tafsirkan sebagai golongan yang tidak mempunyai niat, hala tuju, pendirian dan jati diri dalam perjuangan. Golongan ini lah yang sepatutnya kita perbetulkan. Jika ingin dibandingkan antara golongan pengundi muda tadi dengan golongan ini, secara rasionalnya golongan ini lebih berbahaya dan memakan masa yang lama untuk diperbetulkan, bahkan ia adalah virus yang paling berbisa dalam parti.

Kesimpulannya, dalam keghairahan musim pemilihan kepimpinan parti UMNO pelbagai peringkat yang sedang rancak ini, marilah sama-sama kita berfikiran rasional, matang dan berpendirian dalam memilih pemimpin parti keramat yang kita sayangi ini. Jika cara lama yang sudah dibudayakan sekian lama, wajiblah kita tukar dengan kembali kepada hala tuju parti yang sebenar. Sesungguhnya parti orang UMNO, parti orang Melayu, parti bangsa yang beragama Islam menolak sama sekali unsur-unsur yang negatif dalam menegakkan kebenaran dan memilih pemimpin. Kembalilah kepada dasar dan asas perjuangan, wujudkanlah suasana survival bangsa yang jitu, maka percayalah kita akan disenangi oleh masyarakat dan parti UMNO akan terus kekal relevan dan sentiasa imarah.

No comments: